Tun M: “Dulu Saya Masukkan Dia Ke Penjara, Sekarang Saya Bebaskan Dia.” Anwar Membalas “Saya Telah Maafkan Tun”.

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan akan dibincangkan dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) esok.

Perdana Menteri berkata, peranan Anwar adalah merangkumi parti memandangkan Ketua Umum PH itu bukan seorang ahli Parlimen.

“Apa peranan Anwar? Itu esok saya akan adakan mesyuarat Majlis Presiden PH. Ia adalah majlis yang melantik kita (ketua parti) semua.

“Jika ada perubahan membabitkan Anwar, majlis itu akan tentukan,” katanya pada sidang media di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Ditanya tentang perasaan beliau berhubung pembebasan Anwar, Dr Mahathir berkata:

“Ya… Dahulu dikatakan saya yang masukkan dia dalam tahanan, sekarang saya bebaskan dialah,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, PH tidak akan menerima ahli parti pembangkang walaupun mereka sudah mengisytihar dan menyatakan sokongan kepada kerajaan.

“Kita nampak ramai orang parti lawan yang kalah ini ingin masuk PH, tapi kita dapati rakyat tidak boleh terima orang dari UMNO atau lain.

“Walaupun dah keluar parti dan nyatakan sokongan kepada kerajaan, mereka tidak akan jadi ahli PH, sebab ini akan akan dipandang rakyat, kita tidak mahu kerajaan baharu seperti kerajaan lama,” katanya.

Ditanya mengenai lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baharu, Dr Mahathir berkata, lantikan perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Saya Maafkan Tun M

Sementara itu beberapa jam selepas dibebaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka bukan sahaja mengakui telah memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi juga Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Umum PKR itu berkata, beliau kini mahu meneruskan kehidupannya dan menghargai kebebasan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Jika melibatkan hal peribadi, saya telah maafkan dia (Najib), tetapi dia perlu jawab sebarang isu mengenai pertuduhan rasuah dan jenayah terhadapnya,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Segambut, di ibu negara, Rabu.

Ketika menjawab soalan mengenai kerjasamanya dengan Dr Mahathir, beliau berkata, beliau mengutamakan kepentingan negara lebih daripada perkara lain.

“Memang ramai yang bertanya, ramai yang ingin tahu mengenai kerjasama saya dengan Tun (Mahathir) dan saya katakan telah maafkan Tun.

“Melihat pengorbanannya dan usaha beliau yang membawa kepada kebebasan saya, serta sokongan kepada agenda reformasi, ia umpama deja vu,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembebasan Anwar, Dr Mahathir menjawab: “Dulu kata saya masukkan dia ke penjara, sekarang saya bebaskan dia.”

Beliau juga memaklumkan Anwar akan memainkan peranan dalam gabungan Pakatan Harapan, bukan dalam pentadbiran kerajaan.

“Esok akan diadakan mesyuarat Majlis Presiden bagi membincangkan pelbagai perkara dengan lebih terperinci,” katanya.

Sumber cegitu cegini

Sumber Hmetro Mstar

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*